Kali saya menyalin resepi dari blog Norzie Hany tapi saya telah mengolahkan sedikit bahasanya untuk mudah diikuti di masa masa depan. Saya juga telah mencari tips tips dari blog lain seperti Jurnal Resepi Bdaria di SINI. Untuk resepi di bawah, saya membuat 2 adunan doh. Itun masih berlebihan lagi intinya. Jadi saya simpan di dalam freezer untuk digunakan bagi inti kuih lain pula. Untuk 2 adunan, saya dapat dalam 16 biji Kuih Bom yang bersaiz agak lumayan juga besarnya. Hahaha saiznya pelbagai sebab lupa nak bulat bulatkan adunan doh supaya sama besar saiznya. Tapi bak kata Yatie Memories, kita yang membuatnya jadi tak ada masalah lah asalkan ianya sedap dan disukai. Alhamdulillah kerana kuih Bom saya hari ini tak meletup walaupun macam terdapat rekahan di kulit.
Jom kita tengok resepi dulu....
Kuih Bom Inti Kacang Hijau
Bahan Doh
- 2 cawan tepung pulut
- 2 sudu besar tepung gandum
- Sedikit garam
- 3/4 -1 cawan air
- Bijan secukupnya - untuk salut
Cara membuat doh
Satukan tepung pulut, tepung gandum dan garam. Bancuh dengan air sedikit sedikit hingga menjadi doh yang tak melekat di tangan. Jika terlembik, tambahkan setengah sudu tepung beras pulut setiap kali memasukkannya.
Inti Kacang Hijau
- 250gm kacang hijau - rendam
- 1/2 cawan gula merah/gula melaka di racik halus - guna 1 kpg gula Melaka
- 1 cawan gula pasir
- 1/2 cawan kelapa parut muda
- 3 sudu besar tepung gandum
Cara membuat Inti
Masak kacang hijau bersama air secukupnya hingga kembang, biarkan sehingga airnya hampir kering.
Masukkan kelapa, gula melaka dan gula, kacau rata dan biarkan hingga kering. Sesuaikan kemanisan, jika suka lebih manis boleh tambah gula.
Tabur tepung gandum dan kacau rata. Angkat dan sejukkan. Bila sudah sejuk kepal inti bulat bulat.
Nota
Lebihan boleh disimpan di dalam freezer untuk dibuat inti kuih lain seperti kuih gulung, koci dsb.
Cara membuat kuih bom
Sapu sedikit minyak pada tapak tangan. Ambil adunan, leperkan dan masukkan inti kacang hijau yang telah di kepal bulat bulat tadi.
Cantumkan bahagian leper tadi hujung ke hujung. Bulatkannya dengan kemas.
Terus digolek golek ke dalam bekas bijan hingga seluruh kuih diselaputi bijan. Akhir sekali layangkan antara 2 tapak tangan agar bijan yang tidak melekat akan jatuh dengan sendiri.
Goreng kuih bom dalam minyak terendam dengan api sederhana pada 5 minit permulaan. Kemudian baru besarkan api sambil kacau digolek golek dalam kuali sehingga agak kekuningan. Jangan lama, nanti meletup.
Boleh simpan di dalam freezer jika ada baki kuih bom.
Nota Dari Jurnal Resepi Bdaria:
Jangan terus goreng kuih bom yang telah siap dimasukkan inti. Jika anda terus goreng selepas buat....kuih bom anda akan mengelembung dan pecah (tersengih dan keluar inti) serta 'meletup'. Kuih anda tidak cantik dan ia jugak tidak garing.
Jika buat malam, biarkan dalam dulang dan tutup dengan kain bersih. Goreng pagi esoknya. Jika nak makan petang.....buat pagi dan goreng petang. Ini sahaja rahsianya.
Jangan terlebih rehat pulak....macam kuih bom saya kat atas tu. Buat malam hari tapi biarkan seharian maka tepung terasa masam sikit dan bentuknya dah tak bulat cantik.
Baca juga : Tips Membuat Risoles Kentang Yang Renyah dan Gurih