Khasiat belangkas yang perlu anda tahu
DI kalangan masyarakat tempatan, belangkas popular sebagai makanan eksotik, manakala kulitnya yang mempunyai bentuk menggerunkan dibuang atau dijadikan bahan hiasan oleh segelintir pengusaha kraftangan.
Penemuan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membuktikan kulit haiwan yang dianggap tidak berharga itu mempunyai khasiat chitosan, sekali gus berpotensi dibangunkan untuk industri farmaseutikal.
Penyelidiknya, Kamaliah Kasmaruddin, berkata chitosan bukan saja berupaya menyerap lemak bagi melangsingkan badan, malah turut berciri antimikrobial dan antibakteria yang membolehkan ia merawat luka serta mempercepatkan proses pertumbuhan sel baru.
Katanya, pemilikan cas positif tinggi juga membolehkan serbuk chitosan terhasil daripada kulit makhluk yang dikatakan wujud lebih 250 juta tahun lalu itu, digunakan sebagai sel bateri serta membuang logam berat bagi loji perawatan air.
Penyelidikan berkenaan juga, katanya, membuktikan kulit belangkas sebagai sumber chitosan terbaik kerana ia dapat menghasilkan bahan itu pada kadar lebih tinggi serta kandungan abu rendah, sekali gus mengelakkan kewujudan logam berat tinggi dalam penghasilannya.
“Kajian ini dijalankan dengan memanfaatkan kulit belangkas laut dan bakau yang banyak dibuang pengusaha restoran bersaiz antara 15 sentimeter hingga satu meter.
“Kulit bersaiz besar berupaya menghasilkan chitosan pada kadar lebih tinggi, iaitu 19 peratus berbanding sumber lain seperti ketam dan udang, masing-masing pada kadar 14 hingga 18 peratus saja.
“Kandungan abu yang rendah, iaitu kurang satu peratus juga membuktikan sumber chitosan daripada kulit belangkas ini paling selamat dan mesra alam kerana tidak mewujudkan banyak logam berat,” katanya ketika ditemui pada Ekspo Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta) 2009, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bagi mengekstrak chitosan, Kamaliah berkata, kulit belangkas dijemur, dikeringkan menggunakan ketuhar, dikisar serta ditapis sebelum melalui tiga proses tindak balas kimia, iaitu penyahproteinan, penyahmineralan serta tekanan dan suhu tinggi menggunakan mesin khas.
“Bagi proses kimia pertama dan kedua, serbuk kulit belangkas masing-masing dicampur dengan natrium hidroksid dan asid hidroklorik sebelum dijemur sementara peringkat ketiga ia dicampur natrium hidroksid pekat sebelum diletak pada tahap tekanan angin 15 psi dan suhu 121 celcius,” katanya.
Beliau berkata, selain dalam bentuk serbuk yang sesuai digunakan untuk loji perawatan air, ia boleh dijadikan pil atau cecair sebagai produk farmaseutikal serta kepingan untuk menghasilkan bateri dan merawat luka.
Katanya, produk yang dihasilkan menerusi penyelidikan Alternative Biosource from Horseshoe Crab Carapace itu diselia pensyarah Institut Akuakultur Tropika UMT, Dr Zaleha Kassim.
“Selain menarik minat sebuah syarikat farmaseutikal yang mempunyai cawangan di United Kingdom, produk ini turut memenangi anugerah perak pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi 2009,” katanya.
Oleh Rosniza Mohd Taha
from Klik Disini http://ift.tt/2cCJrV8
Khasiat belangkas yang perlu anda tahu ~ Klik Disini - Resep Masakan, Resep Kue Kering, Resep Kue Basah