1. (#)Lakukan Aktiviti Menyeronokkan
[+]Ramai yang tidak tahu, emosi kita berkait rapat dengan pengeluaran hormon serotonin. Ketika pengeluarannya meningkat, kamu diselubungi perasaan positif seperti gembira dan bersemangat. Namun saat mengalami kegagalan, pengeluaran hormon tersebut akan berkurangan. Ketika inilah perasaan negatif akan menguasai dirimu. Bagi mengatasi penurunan kadar hormon ini, pakar psikologi menyarankan kamu melakukan aktiviti yang menyeronokkan seperti berdamping dengan orang tersayang. Cara ini akan meningkatkan kadar hormon serotonin dan mengembalikan aura positif dalam diri kamu.
2. (#)Bersosial
[+]Usah mengurung diri dengan memendam rasa sebaliknya kamu digalakkan berinteraksi dengan orang di sekeliling. Perbuatan mengasingkan diri atas alasan untuk menyendiri akan membuatkan kamu lebih tertekan dan cenderung menyalahkan diri sendiri atas kegagalan yang berlaku. Aktiviti sosial yang sihat akan membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan hormon oksitosin yang membuatkan kamu kembali bersemangat. Sokongan moral daripada keluarga dan teman-teman akan membuatkan kamu rasa dihargai dan bermotivasi untuk terus memburu kejayaan.
3. (#)Berfikiran Positif
[+]Tidak dinafikan, kegagalan akan mengganggu kestabilan emosi dan mental kamu. Ubat paling mujarab, kamu harus melihat kegagalan ini dari sudut positif. Dugaan ini akan mematangkan kamu merencana masa depan dengan lebih baik. Jadikan ia sebagai pengajaran dan ceriakan diri kamu dengan sikap humor. Cara ini akan membuatkan kamu tenang dan orang di sekeliling kagum dengan ketabahan yang kamu miliki.
4. (#)Bersikap Terbuka
[+]Ketepikan ego dan terima hakikat kegagalan yang dialami tapi jangan sesekali membiarkan ia melemahkan kamu. Bina kembali keyakinan diri dan bersikap terbuka menerima kritikan, teguran atau nasihat daripada orang lain. Ingat! Kegagalan sering terjadi kepada golongan yang pesimis, ego dan berfikiran sempit.
5. (#)Usah Menyalahkan Diri & Orang Lain
[+]Usah menyalahkan diri atau sesiapa atas kegagalan yang berlaku. Tidak perlu mencari pesalah tapi amat penting untuk kamu menganalisis punca kegagalan agar kamu tidak mengulangi kesilapan yang sama.
6. (#)Sokongan Keluarga & Teman
[+]Saat menghadapi kesukaran begini, sokongan keluarga dan teman-teman sangat diperlukan agar dapat meringankan beban yang kamu tanggung. Setiap insan perlukan perhatian, kasih sayang dan motivasi agar mereka dapat meneruskan hidup dengan gembira.
7. (#)Jaga Kesihatan
[+]Hakikatnya, ramai yang cenderung menyeksa diri sehingga mereka jatuh sakit seperti enggan makan atau terus-terusan mendera emosi dengan menyalahkan diri sendiri atas segala yang berlaku. Sepatutnya dalam keadaan sukar, kamu mesti lebih prihatin menjaga kesihatan dan mengalih perhatian dengan melakukan aktiviti riadah atau hobi baru. Kajian menunjukkan aktiviti fizikal seperti bersukan atau berkebun dapat mengurangkan tekanan.
8. (#)Humor
[+]Ketawa adalah penawar kegagalan atau kesedihan. Usah terus-menerus bermuka masam kerana ia hanya menambah tekanan. Kamu disarankan bergaul dengan teman-teman yang pandai berlawak, malah kamu juga boleh membuat humor. Cara ini akan mengembalikan keceriaan di wajah kamu dan menstabilkan emosi yang terganggu.
9. (#)Luah Perasaan
[+]Usah malu meluah isi hati atau masalah kepada insan yang kamu percayai. Cara ini sangat efektif mengurangkan kekecewaan yang kamu alami. Tapi jika kamu berasa tidak selamat membuka rahsia diri kepada orang lain, apa kata kamu luahkan segala yang membelenggu diri dengan cara menulis diari. Luahkan apa yang terbuku tanpa ada batasan kerana diari adalah hak peribadi kamu.
10. (#)Gali Potensi Diri
[+]Insan di muka bumi ini mempunyai kelebihan dan kekurangan. Jika kamu gagal dalam satu bidang ia bukan bererti hidup kamu mengalami kegagalan secara keseluruhan. Apa kata, kamu gali potensi diri dengan mencuba bidang baru. Misalnya jika sebelum ini kamu tidak menyerlah dalam bidang penulisan, apa kata kamu mencuba penyiaran. Siapa tahu kamu lebih menyerlah sebagai penyampai berbanding penulis
10 TIPS UNTUK BANGKIT DARI KEGAGALAN - Resep Masakan, Resep Kue Kering, Resep Kue Basah