Minggu ni pasti ramai yang bercuti panjang, maklumlah banyak perayaan. Bila cuti hujung minggu bersambung pula dengan cuti am, anak-anak pastilah pulang ke rumah. Pasti riuh rumah dengan gelak tawa anak-anak. Macam-macam cerita, pengalaman yang ingin di kongsikan dengan keluarga.. dan banyak juga nasihat yang emak dan ayah berikan untuk bekalan bila mereka pulang nanti.
Para ibu pula pasti sibuk menyediakan menu istimewa untuk anak-anak yang pulang bercuti. Ita juga tidak ketinggalan untuk mencari resepi yang istimewa untuk anak-anak ita.
Resepi ini ita dah terpandang lama seawal Paty kongsikan di blognya.
Sedapnya lah haiii.... bisik hati seraya menelan air liur.. mesti anak-anak ita suka.
Ita mula memasang angan-angan untuk menyediakannya bila anak-anak pulang bercuti nanti.
Kami sekeluarga memang cukup mengemari mee yang berkuah, nak..nak anak ita yang sulung Amirul.. suka benar dia kalau maknya masakkan mee yang berkuah. Pasti berulang-ulang anak-anak menikmatinya.
Ita pula memang suka masak kalau anak-anak pun suka makan.. walaupun tak sihat bila melihat anak-anak menikmati hidangan air tangan emaknya ni.. hilang rasa sakit dan penat..
Resepi ini ita ada olah sana sikit sini sikit mengikut citarasa kami sekeluarga.. tapi jangan bimbang ianya masih lagi mengekallkan originaliti resepi asal.
Penang Curry Mee atau ada yang mengelarnya Hokkien Mee memang cukup popular dan terkenal di Malaysia dan Singapura. Mee berkuah ini di katakan berasal dari Fuji Cina dan di bawa serta di perkenalkan ke Tanah Melayu oleh pedagang-pedagang Cina. Curry Mee ini biasanya di nikmati bersama mee telur (mee kuning) atau mee beras ( mee hoon ). Yang istimewanya mee ini di nikmati bersama sambal ( chili oil ) yang menambahkan lagi keasyikkan mee ini. Selain itu ia juga di sediakan bersama ramuan tersendiri dan tambahan udang, kerang, ayam, daging, taugeh, kacang panjang yang di celur dan hirisan limau bagi yang sukakan kuah yang sedikit masam.
Apa yang membezakan Hokkien Mee Penang dan Singapura adalah, Penang curry mee di masak berkuah manakala di Singapura ianya di goreng.
Jika anda ke Penang jangan lupa untuk menikmati semangkuk Penang Curry Mee. Tapi tu lah kan.. masalahnya agak sukar menikmati Penang Curry Mee yang di sediakan oleh orang Islam. Kebanyakkannya di sediakan oleh orang Cina dan sebagai orang Islam anda kena berhati-hati dan mencari makanan yang halal dan toyibah, untuk keluarga. Tapi ita rasa sebaiknya anda sediakan sendiri..
Membuatnya tak sukar mana, walaupun bahannya adalah banyak sikit.. tapi apa yang penting anda memasak dengan penuh rasa kasih dan sayang beserta doa-doa yang kudus.. Yang paling utama ianya bersih dan halal.
Jom lah masak sendiri.. puas hati.. kenyang anak-anak makan tau!
Resepi dah tersedia.. apa tunggu lagi...
PENANG CURRY MEE
Resepi oleh : Fatimah
Rujukkan : Paty's Kitchen
Untuk memudahkan dan melancarkan kita menyediakan Penang Curry Mee ni, kita sediakan dahulu stock ayam. Stock ayam ini akan kita gunakan untuk menyediakan kuah curry mee kita nanti.
Rebuskan juga kerang , air rebusan kerang jangan di buang. Masukkan sekali airnya dalam kuah kita nanti.
STOCK AYAM
Bahan Bahan
- 2 keping dada ayam
- 2 kiub ayam
- garam secukup rasa
Cara Membuat
Rebus dada ayam bersama air, kiub ayam dan garam hingga ayam empuk
Bila ayam dah empuk, keluarkan dan di siat-siat halus. Ketepikan
Air rebusan ( stock ayam ) simpan untuk menyediakan kuah curry mee nanti.
Sementara kita menunggu stock ayam siap kita boleh sediakan sambal atau chili oil yang akan di makan bersama curry mee nanti
CHILI OIL / SAMBAL
Bahan Bahan
- 15 tangkai lada kering ~ di rendam hingga lembut dan di kisar halus
- 3 tangkai cili merah ~ kisar halus
- 2 sudu besar udang kering ~ di rendam hingga lembut kemudian di kisar halus
- 3 ulas bawang putih ~ kisar halus
- 1 inc belacan ~ di kisar halus
- minyak untuk menumis
- garam dan gula secukup rasa
Cara Membuat
Semua bahan di atas kita kisar sekali hingga halus
Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar hingga garing dan terbit minyak
Perasakan dengan garam dan gula
Bila dah masak, angkat dan ketepikan
Sekarang kita sediakan pula bahan-bahan untuk kuah mee
KUAH MEE
Bahan Bahan
- 2 liter Stock Ayam / air rebusan ayam
- air rebusan kerang / air rebusan udang jika letak udang
- 3 sudu besar rempah kari daging Babas
- 2 batang serai ~ di titik
- 1 ketul gula batu atau gula Melaka
- minyak untuk menumis
- 3 tangkai daun kari
- 2 cawan santan
- 2 keping asam keping
- garam dan gula secukup rasa
Bahan Bahan Kisar
- 1 sudu besar ketumbar
- 3 batang serai ~ ambil bahagian yang putih sahaja, hiris dan kisar
- 5 ulas bawang putih
- 7 ulas bawang merah atau 2 labu bawang besar
Bahan Bahan Lain
- 10 ketul tauhu pong
- 2 keping fish cake
- 10 biji fish ball
- kerang ~ di rebus
- taugeh
- Kacang panjang celur
- mee kuning
- mee hoon
Cara Membuat
Panaskan minyak dalam periuk
Tumiskan serai, daun kari dan bahan kisar, hingga harum dan terbit minyak
Masukkan rempah kari daging yang di bancuh dengan sedikit air
Masak hingga garing
Masukkan stock ayam dan air rebusan kerang atau udang, dan biarkan ia merenih
Masukkan asam keping dan gula batu atau gula Melaka
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa
Biarkan kuah mendidih
Kemudian masukkan santan sambil di kacau agar tidak pecah santan
Akhir sekali masukkan fish ball, fish cake dan tauhu pong
Masak kuah hingga semua bahan di masak sempurna
Kelainan Penang Curry Mee kerana ia di makan bersama dua jenis mee yang berbeza iaitu mee hoon dan mee kuning. Mee hoon tu kita rendam dahulu hingga lembut kemudian di rebus sebentar. Bila dah lembut angkat dan toskan. Sementara mee kuning kita celur sebentar
Cara menghidangnya pula, letakkan sedikit mee kuning dan sedikit mee hoon ke dalam mangkuk
Tuangkan kuah curry mee kita tadi
Hiaskan dengan hirisan daging ayam, kerang rebus, taugeh dan kacang panjang yang di celur
jangan lupa di makan bersama sambal cili kita yang power!
Memang sedap Penang Curry Mee ni.. Tak payah pergi Penang untuk pekena semangkuk curry mee. Anda boleh sediakan sendiri di rumah. Enak di makan bersama seisi keluarga, terjamin dari segi kebersihan dan yang penting hasil air tangan yang memasak dari hati yang tulus ikhlas untuk mereka yang tersayang... di jamin bersih, halal dan toyibah itu yang paling di utamakan..
Apa tunggu lagi.. jom lah pekena semangkuk...