-->
Jumat, 22 Januari 2016

Resepi Pajeri Terung Wan Chu Yang Mudah dan Paling Sedap

Resepi Pajeri Terung Wan Chu Yang Mudah dan Paling Sedap
Resepi Pajeri Terung Wan Chu - Seperti dijanjikan dalam entri sebelum ini, saya akan kongsikan resepi Pajeri Terung Wan Chu. Tapi sabar dulu, kita jamu minda kita dengan sedikit perkongsian ilmu yang saya catat semasa Kuliah Ustaz Fauza. Cara penyampaian Ustaz Fauza yang sangat humble pasti menyentuh hati kita yang mendengarnya. Manusia tak layak untuk riak dan rasa takjub. Analogi orang beramal dengan riak. Seperti mana seorang yang keluar ke pasar, telah mengisi  kantungnya dengan batu. Semua orang tengok poket berat dan akan rasa kagum. Dan orang ramai berkata alangkah penuhnya kantung orang itu. Tapi sama sekali tidak berguna kerana tak dapat beli apa apa. Hanya dapat pujian orang sahaja. Begitulah umpamanya orang yang beramal dengan banyak tapi hati penuh dengan riak. Seolah masuk batu dalam kantung tapi tak laku kerana batu, bukan duit. Allah tak pandang orang yang beribadah dengan riak. Mereka akan menjadi fakir kerana amalan baik akan diragut. Zero dalam akaun bank. Kalau kita  susah semasa di dunia, masih ada orang yang boleh membantu dan memberi. Tapi jika fakir di akhirat tak ada orang yang sudi membantu. Dikisahkan bagaimana seorang ayah di akhirat bertemu anak anak, minta pertolongan. Si Ayah bertanya, "Ingat Ayah lagi tak? Ayah memberi segala apa yang kamu mahu semasa kamu di dunia". Anak anak menjawab "ya, kami ingat Ayah memang baik dan telah permudahkan semua urusan kami di dunia". Ayah berkata lagi, "Hari ini Ayah nak minta sedikit amalan kamu boleh tak, sebab bekal Ayah tak cukup untuk masuk syurga". Anak anak menjawab "kalau itu, tak boleh kerana kami juga amat memerlukan bekalan. Kami juga takut untuk ke neraka".

Pergi pula lelaki tadi pada isteri. Namun isteri juga tidak dapat membantu. Inilah fakir yang Nabi Muhammad SAW sebut dalam surah Abasya ayat 34-37. Semua lari kerana masing masing sibuk dengan urusan masing masing. Jadi perbanyakkan lah berdoa pada Allah, supaya semua anak isteri dapat sama sama ke syurga Allah. Akhirat tu sangat berat. Surah Al-Inshiqaq menyebut berkenaan hari kiamat. Allah memberitahu pada hari ini, kamu tak ada kekuatan apa apa melainkan semua urusan milik Allah. Berdoa supaya apa yang dibuat beri hasil belaka. Orang yang riak fakir jahim amalan terbatal di akhirat. Dalil surah Al Furqan ayat 23 "Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan". Dan Allah akan memeriksa semua amal perbuatan mereka dan tidak ada satu yang terlepas. Semua amalan baik atau buruk akan diperiksa. Tidak akan tercicir sedikit kejahatan atau kebaikan. Pasti akan diteliti di akhirat. Betapa adilnya Allah. Semoga ianya memberi manafaat pada kita semua, untuk kita sama sama merenung sejenak matlamat kita hidup di dunia ini. Sekarang kita masuk pula bab masakan.

Selain Ayam Masak Merah yang sangat sedap di SINI, Pajeri Terung adalah lauk yang biasa dimasak oleh Wan Chu untuk hidangan kami setiap kali berkunjung ke rumah mereka di Sungai Besi ketika itu. Gembira hati tidak terkira bila dapat menghubungi Wan Chu semula. Saya memang akan mencari resepi resepi yang telah saya rasakan sendiri keenakannya untuk dijadikan koleksi resepi. Itulah yang saya usahakan juga untuk mendapatkan nombor telefon Wan Chu. Maklum air tangan orang zaman dulu dengan menggunakan bahan mudah pun boleh menghasilkan masakan yang wallaaa sedaaapnya sehingga teringat ingat walaupun setelah berpuluh tahun.

Kata Wan Chu memasak Pajeri Terung tak perlu menggunakan santan yang banyak kerana ianya akan menjadi seolah masak lemak atau masak kari terung pulak. Hanya guna semangkuk paling kecil sahaja untuk santannya. Pajeri sepatutnya mempunyai rasa berempah dengan rempah kari serta menggunakan udang kering yang agak banyak. Inilah resepi Pajeri Terung yang sangat sangat saya gemari. Terasa baru hari ini, saya memasak pajeri dengan yakin dan bergaya. Hahaha dah dapat tips dan petua dari sifu kan? Sememang tidak ada yang unik dengan bahan yang digunakan dalam resepi ini tetapi cara dan teknik memasak yang menjadikan ianya lebih sedap. Pajeri terung memang antara lauk kegemaran yang saya pasti tidak mampu menolaknya, terutama jika dimakan dengan nasi putih berlaukkan ikan cencaru goreng sumbat dan telur masin. Cukup cukup sedap dan menepati selera saya. Sehingga keesokan harinya pun masih teringat ingat. Jom layan resepi dan cara menyediakan Pajeri Terung dari Wan Chu. Layaan...

Pajeri Terung Sedap Wan Chu 
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan bahan
  • 4-5 biji terung - belah 2 tak putus
  • 2 paket kecil rempah kari daging Babas
  • 1 paket kecil kerisik
  • 1 mangkuk kecil santan - 1 plastik kecil
  • 2 sudu kecil garam atau secukup rasa 
  • 3 sudu besar gula atau secukup rasa
  • Serbuk perasa

Bahan kisar
  • 6 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 ibu jari halia 
  • Segenggam udang kering

Cara Cara Pajeri Terung Sedap Wan Chu

Tumis bahan kisar sehingga wangi dan masukkan rempah kari kering (tak dibancuh dengan air) dan kacau rata cepat cepat. Masukkan sedikit santan supaya tidak hangit dan kacau rata. Kemudian masukkan baki santan, garam, gula, serbuk perasa serta kerisik supaya kesemua sekali masak mesra.

Akhir sekali, masukkan terung dan sedikit air sehingga agak agak terung tenggelam sahaja.

Masak dengan api sederhana sehingga terung lembut dan kuah pecah minyak. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.

Selamat mencuba...


Baca juga : Resep Membuat Cheesecake Roti Tawar Kukus

Baca Juga Resep Lainnya di Bawah Ini:

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+